Deductible atau co-takaful merujuk kepada sejumlah amaun yang kita sebagai peserta perlu bayar dahulu pada setiap kali kita perlu masuk wad, sebelum pihak takaful akan membayar kos selebihnya.
Ada produk yang memang datang dengan deductible, dan ada yang kita diberi pilihan untuk menambah deductible atau tidak.
“Aih, kita ambil medical card ni untuk dapat perlindungan penuh tak nak kena bayar. Nak kena bayar jugak ni kenapa pulak?”
Apa kelebihan deductible?
Ada beberapa sebab kenapa kita digalakkan untuk mengambil pilihan pelan dengan deductible.
1. Penyesuaian perlindungan dengan pelan lain yang sedia ada.
Contoh:
Kita dah ada pelan perlindungan lain seperti takaful berkelompok (Group Term Takaful, GTT) yang disediakan oleh pihak majikan, ataupun pelan takaful persendirian lain tapi had tahunan adalah rendah. Contohnya had tahunan cuma RM50,000.
Mengikut keperluan semasa, RM50,000 memang tak cukuplah.
Jadi kita mengambil inisiatif untuk menambah perlindungan dengan mengambil pelan takaful medical card lain.
Tapi sebab kita dah ada perlindungan RM50,000 tadi, untuk pelan takaful yang baru itu kita boleh memilih untuk mengambil deductible sehingga RM50,000.
2. Mengurangkan kos caruman
Dengan mengambil pilihan pelan dengan deductible, kita dapat mengurangkan kos caruman bulanan kita.
Tapi ini cuma sesuai untuk orang yang masih muda, sihat dan berisiko rendah, di mana mereka ini jarang mendapat penyakit.
Dan, cara pendekatan yang kita gunapakai di sini adalah, jumlah kecil deductible yang kita perlu keluarkan tadi kita ambil dari tabung kecemasan kita.
Ingat tak asas Personal Finance Triangle yang Mal cerita hari tu?

Bagaimana deductible berfungsi?
Contoh 1

Contohnya kita dah ada pelan perlindungan Group Term Takaful (GTT) dari majikan dengan had tahunan RM50,000. Jadi kita pun pilih pelan takaful dengan deductible sebanyak RM50,000.
Kemudian, kos rawatan yang dikenakan pula adalah sebanyak RM200,000.
Jadi, untuk RM50,000 pertama kita boleh tolak dari GTT majikan dahulu sebagai deductible.
Baki selebihnya barulah kita buat tuntutan kepada pelan takaful persendirian kita tadi.
“Oo.. Kalau tak ada GTT tu macamana pulak?”
Contoh 2

Kalau tak ada GTT, janganlah nak ambil deductible sampai RM50,000 pulak. Menyesal tak kesudah nanti…
Contoh kita ambil pelan dengan deductible RM500.
Sama seperti contoh 1 dengan GTT tadi juga, cuma disini kita sendiri kena keluarkan duit sendiri sebanyak RM500 sebelum masuk ke dalam wad.
Baki selebihnya akan dibayar dari dana takaful.
“Wah, parahlah kalau setiap kali masuk hospital nak kena bayar RM500. Apa guna ambil medical card macam ni.”
Jumlah deductible adalah merujuk kepada quota untuk satu tahun, bukan untuk setiap kali kita mendapatkan rawatan.
Tapi ini adalah bagi kebanyakan produk. Sila double check terma dan syarat deductible pelan masing-masing ya.
Contoh 3

Untuk contoh di atas, pelan deductible adalah sebanyak RM1,000.
Rawatan pertama kita dicas sebanyak RM500.
Disebabkan bawah dari jumlah deductible yang dipilih, kita kena bayar penuh kos rawatan sebanyak RM500 tu.
Kemudian, dalam tahun yang sama juga, kita perlu mendapatkan rawatan susulan pula.
Kali ni kos rawatan adalah RM20,000.
Disebabkan kita pernah membayar deductible kos rawatan pertama sebanyak RM500, jadi untuk rawatan kali ke-2 ini kita perlu keluarkan baki deductible sebanyak RM500 sahaja. Bayaran selebihnya sebanyak RM19,500 akan dibayar dari dana takaful.
Contoh 4

Untuk contoh di atas pula kalau dalam setahun kita perlu mendapatkan rawatan beterusan.
Dalam kes ini, untuk rawatan kali ke-3, disebabkan kita sudah keluarkan bayaran penuh deductible sebelum itu, maka seluruh kos rawatan akan ditanggung oleh dana takaful.
Kita tak perlu membayar sebarang deductible lagi.
Tapi!
Ada produk yang menyatakan deductible adalah untuk setiap kali mendapatkan rawatan dan bukanlah quota tahunan.
Jadi sila pastikan untuk menyemak terma dan syarat deductible dalam pelan masing-masing ya.
Q: Jadi, perlu ke ambil deductible?
Pilih TANPA deductible jika kita
- Ada sejarah penyakit kronik yang memerlukan rawatan berterusan, atau preskripsi ubat-ubatan yang mahal.
- Memiliki kanak-kanak kecil (kos rawatan kanak-kanak yang tinggi)
- Sering membuat aktiviti luar yang berisiko tinggi seperti memanjat gunung, dll.
Pilih DENGAN deductible jika kita
- Masih muda, sihat, berisiko rendah untuk mendapat kecederaan atau penyakit.
- Mampu untuk membayar amaun deductible jika berlaku sebarang kejadian tak di duga.
Tapi!
Untuk sesetengah pelan, kita tiada pilihan untuk tidak mengambil deductible.
Jadi sila pastikan kita faham jenis pelan yang kita ambil.
Akhir Kata
Pada pendapat Mal, sebaiknya janganlah ambil pelan dengan option deductible yang tinggi walaupun kita dah ada Group Term Takaful dari majikan.
Sebab?
Terdapat risiko yang diluar kawalan kita.
Antaranya:
- Kelebihan Group Term Takaful tersebut boleh berubah.
- Berlaku perkara lain yang diluar jangka seperti diberhentikan kerja
- Syarikat mengalami masalah kewangan dan kelebihan ditarik
- Pandemik seluruh dunia yang member impak negatif kepada ekonomi dan syarikat
Jadi, lebih baik untuk kita betul-betul mengawal risiko kita sendiri. Ambil endah keperluan perlindungan kita tanpa perlu bergantung harap kepada pihak yang lain.
Tapi
Kalau kita memang dah ada medical card persendirian lain tapi had perlindungan adalah rendah, jadi sesuailah untuk mengambil deductible pada pelan baru yang bertujuan untuk menambah perlindungan sedia ada
Apa-apa pun, kes setiap orang adalah berbeza.
Pastikan kawan-kawan bincang dahulu dengan ejen masing-masing untuk dapatkan nasihat terbaik.
Di sini Mal Cuma sampaikan nasihat asas secara am sahaja.
One thought on “Apa itu Deductible (Co-takaful)?”