Sebelum ni Mal dah cerita pasal kenapa perlunya untuk memiliki pelan perlindungan takaful keluarga a.k.a. hibah takaful.
Jadi sekarang Mal nak cerita pulak pasal macamana nak membuat pilihan pelan takaful mana yang sesuai.
Antara soalan yang akan Mal cuba jawab di sini adalah:
- Berapa jumlah perlindungan hibah takaful yang perlu?
- Berapa jumlah perlindungan hibah takaful yang terlalu banyak?
- Bagaimana untuk menilai suatu pelan itu mahal atau murah?
- Apa yang perlu kita buat jika pelan yang diambil terlalu mahal?
- Apa yang perlu kita buat jika pelan yang diambil tak mencukupi?
- Bila perlunya kita untuk mengambil pelan hibah takaful?
Kalau ada soalan lain lagi, boleh pm tepi.
Kita bukak meja soal jawab.
Bagaimana cara untuk menentukan jumlah perlindungan hibah takaful?
Jangan terpedaya dengan kata-kata ejen yang mengatakan kita perlu ambil takaful hibah sehingga RM1 juta tanpa dia lakukan sebarang analisa kewangan kita terlebih dahulu.
Langkah pertama adalah:
① Tentukan bajet untuk perlindungan takaful
Sebagai panduan asas dalam pengurusan kewangan peribadi, jumlah perbelanjaan bulanan untuk perlindungan perlulah berada dalam sekitar 10% daripada jumlah pendapatan bersih kita.
Bajet pelan perlindungan :
10% pendapatan bersih
10% ini merangkumi pelan medical card dan hibah takaful.
Hibah Takaful
Khusus untuk perlindungan terhadap kematian.
Medical Card
Memberi perlindungan terhadap keperluan perubatan yang diluar jangka.
Panduan asas ini sangat berguna untuk kita menilai secara cepat sama ada pelan yang ditawarkan kepada kita tu adakah terlalu mahal atau sebaliknya.
Contoh 1
Pendapatan bersih Ali RM3,000 sebulan.
Maka Ali perlu mengasingkan sebanyak RM300 sebagai bajet untuk perlindungan takaful.
Tapi, rata-rata masyarakat di Malaysia tidak mampu untuk mengasingkan sebanyak 10% daripada pendapatan bersih untuk kedua-dua jenis pelan perlindungan di atas.
Jadi, sebagai keutamaan, Mal sarankan untuk dapatkan pelan Medical Card sahaja dahulu jika kurang mampu.
Kebanyakan pelan medical card adalah dalam bentuk rider kepada pelan hibah takaful, maka memang sangat sesuai untuk kita ambil pelan ini dahulu.
Untuk cara pilih pelan medical card ni Mal dah cerita di dalam post lain hari tu.
Ok sekarang kita dah tahu berapa bajet yang kita ada berdasarkan pendapatan kita.
Bagi yang mampu untuk mendapatkan pelan perlindungan hibah takaful, langkah seterusnya adalah untuk menilai keperluan kita pula.
② Menilai keperluan kita
Sikit tu banyak mana? Banyak tu macamana?
RM100k? RM500k? RM1 juta?
Tiada jawapan yang betul kerana semuanya bergantung kepada situasi masing-masing.
Kita perlu lakukan analisa kewangan untuk menentukan keperluan kita.
Kaedah menganalisa keperluan perlindungan hibah takaful
Ada beberapa cara untuk menganalisa, antaranya:
- Human Life Value Method (Kaedah Nilai Nyawa Manusia)
- Needs-Based Analysis (Analisa Berdasarkan Keperluan)
- Kaedah ringkas : 10 kali ganda pendapatan bersih
Human Life Value Method
Contoh Ali tadi berumur 25 tahun, dan beliau merancang untuk bersara pada umur 60 tahun.
Kita perlu mengira jumlah pendapatan terkumpul beliau sehingga umur bersara dengan mengambil kira kesan inflasi tahunan.
Tempoh sehingga bersara, n : 35 tahun
Pendapatan tahunan, P : 12 x RM3,000 = RM36,000
Kadar inflasi tahunan (anggaran), r : 4%
Dengan menggunakan formula anuiti:

36000*(1-(1+4%)^-35)/4% = RM671,926
Ali memerlukan perlindungan hibah takaful sebanyak sekurang-kurangnya RM671k.
Walaubagaimanapun, terdapat beberapa kelemahan kaedah ini:
- Perbelanjaan besar dalam hidup seperti berkahwin, membeli rumah, dan lain-lain tidak diambil kira.
- Menganggap bahawa pendapatan sepanjang tempoh tersebut adalah sama dan tidak berubah.
Disebabkan oleh kelemahan di atas, kaedah ini semakin jarang digunapakai pada zaman sekarang.
Needs-Based Analysis
Kaedah ini menganalisa keperluan seseorang sebagai titik permulaan dalam membuat perancangan.
Ingat tak Mal cakap. Jangan ambil sebarang pelan tanpa membuat analisa kewangan terlebih dahulu.
Jadi, sebelum kita mendapatkan khidmat nasihat ejen takaful, Mal sarankan untuk kita analisa keperluan diri sendiri terlebih dahulu.
Bukan apa, Mal risau nanti ada yang tersalah ambil pelan kerana kurang faham.
Kalau boleh kita nak elakkan dari terlebih dan terkurang jumlah perlindungan yang perlu.
Contoh 1
Suami 27 tahun.
Bekerja sebagai auditor yang kerap outstation.
Isteri pula 23 tahun.
Suri rumah sepenuh masa.
Mempunyai anak 2 orang.
Dalam kes ini, sumber pendapatan isi rumah bergantung kepada si suami sahaja.
Si suami is the sole breadwinner.
Maka keperluan utama dalam keluarga ini adalah pelan yang boleh memberikan pengganti terhadap sumber pendapatan si suami sekiranya berlaku apa-apa.
Contoh 2
Suami 27 tahun.
Bekerja sebagai auditor yang kerap outstation.
Isteri 23 tahun.
Seorang guru sepenuh masa.
Mempunyai anak 2 orang.
Untuk kes ini pula terdapat 2 punca pendapatan di dalam isi rumah.
Di sini jumlah perlindungan akan bergantung kepada keperluan si isteri tersebut.
Adakah si isteri bekerja kerana perlu untuk menampung keperluan harian keluarga?
Atau pendapatan si suami sahaja sudah cukup untuk menampung keperluan asas keluarga, dan si isteri hanya bekerja untuk menambah pendapatan keluarga?
Jumlah perlindungan minima akan berbeza berdasarkan situasi di atas.
Contoh 3
Situasi asas sama dengan contoh 1.
Bezanya di sini si suami merancang untuk anak-anak beliau belajar sehingga ke peringkat phd.
Dari sini jumlah yang diperlukan tidak ada kaitan dengan pendapatan si suami yang perlu diganti dan sebagainya kerana fokus utama hanyalah untuk mendapatkan jumlah wang yang dianggarkan cukup untuk mencapai objektif tersebut.
Kaedah ringkas : 10 kali ganda pendapatan bersih
Kaedah ini paling mudah dan ringkas.
Kita gandakan pendapatan tahunan sebanyak 10 kali ganda sahaja.
Anggaran 10 kali ganda adalah dibuat berdasarkan kepada tempoh 10 tahun untuk ahli keluarga kita kembali menapak semula setelah ketiadaan kita.
Oleh kerana kaedah ini menggunakan tempoh yang tetap selama 10 tahun, dan tidak mengambil kira kesan inflasi, jumlah perlindungan yang dikira di sini akan lebih rendah berbanding dari HLV (kecuali untuk tempoh yang lebih singkat).
Dari segi keselamatan, kaedah ini adalah kurang memuaskan.
Namun, ia membolehkan kita untuk mendapatkan gambaran jumlah perlindungan minima yang perlu dengan pantas.
Contoh
Pendapatan tahunan : RM36,000
Jumlah perlindungan diperlukan = 36,000 x 10 = RM360,000
Apa perlu buat kalau pelan terlalu mahal atau tak mencukupi?
Sekiranya kawan-kawan dah ada mengambil pelan takaful, alhamdulillah.
Seronok Mal dengar.
Tapi pasaran takaful adalah kompetitif.
Banyak pelan-pelan baru diperkenalkan yang mampu memberikan perlindungan yang lebih baik daripada pelan-pelan sebelumnya.
Bukan sebab itu je lah.
Dalam tempoh 3-5 tahun macam-macam boleh berlaku bukan?
Ada yang dari bujang, dah berkahwin.
Yang berkahwin, dah ada anak.
Daripada duduk menyewa, sekarang dah beli rumah sendiri.
Beli kereta yang lebih selesa.
Dan macam-macam lagi lah.
Kita perlu semak semula pelan perlindungan kita pada kitaran 3-5 tahun sekali kerana perubahan terhadap gaya hidup biasanya akan berlaku dalam tempoh kitaran tersebut.
Jadi, kita kena pastikan yang pelan perlindungan kita itu juga seiring dengan perubahan gaya hidup kita.
Macamana nak semak semula?
Dapatkan khidmat nasihat ejen kawan-kawan semula.
Kalau nak dapatkan pandangan kedua dari Mal pun boleh.
Bila kena ambil pelan takaful?
Seawal mungkin.
Kos perlindungan meningkat seiring dengan peningkatan risiko.
Risiko pula akan meningkat seiring dengan usia.

Dan yang paling penting kita kena ingat yang tiada sesiapa merancang untuk menghadapi sebarang kemalangan.
Yang kita boleh buat hanyalah untuk merancang apa yang sepatutnya dilakukan sekiranya kemalangan tersebut berlaku.
Jadi, apa tunggu lagi? Dapatkan pelan perlindungan takaful segera!