Situasi Financial Literacy di Malaysia

Apa itu Financial Literacy?

Celik kewangan.

Ia merujuk kepada kebolehan seseorang untuk:

  • memahami risiko dan menilai kepentingan untuk menyediakan perlindungan samada dengan mengambil pelan takaful atau lain-lain.
  • membuat bajet perbelanjaan bulanan, tahunan, dan jangka panjang.
  • membezakan antara liabiliti dan aset.
  • memahami konsep-konsep asas kewangan seperti kredit, interest, compounding interest, inflasi, diversifikasi, dan lain-lain.
  • memahami konsep pelaburan dan dapat membezakan antara penipuan (scam) dan pelaburan yang sah.
  • dan lain-lain lagi lah.

Realiti kadar Financial Literacy di Malaysia

Masyarakat di Malaysia masih kurang kesedaran mengenai pengurusan kewangan peribadi.

Menurut laporan dari kajian oleh S&P Global Finlit Survey, kadar celik kewangan rakyat Malaysia hanyalah pada 36% sahaja.

Di bawah pula adalah hasil kajian daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

● Satu daripada tiga menyatakan mereka kurang pengetahuan kewangan.
● 75% rakyat Malaysia faham yang inflasi membawa maksud kenaikan kos sara hidup. Tapi hanya 38% yang boleh mengaitkan inflasi dengan kuasa membeli.

● Hanya 43% rakyat Malaysia faham duit berkembang secara kompaun, dan 22% percaya bahawa duit berkembang secara kadar langsung.
● Isi rumah berpendapatan rendah cenderung mempunyai tahap celik kewangan yang lebih rendah.

● 92% rakyat Malaysia mempunyai produk deposit (akaun bank).
Masih kurang yang memiliki produk pelaburan.

Diolah dari sumber: Security Commission Malaysia

Kadar celik kewangan rakyat Malaysia yang rendah

● Ilmu pengurusan kewangan peribadi asas tidak diajar secara wajib.
Dalam kebanyakkan situasi, ilmu kewangan disampaikan kepada generasi akan datang secara terus melalui ibu dan bapa sendiri sahaja.
Tidak semua nasihat yang disampaikan akan boleh digunapakai untuk generasi akan datang.
Dunia kewangan sentiasa berubah mengikut peredaran zaman.
Kalau pakai nasihat yang dah lapuk, memang ketinggalan zamanlah nanti.

● Masih ramai tak mempunyai pelan perlindungan risiko (baca: pelan hibah takaful dan medical card.)
Kadar penembusan takaful (baca: kadar pemilikan takaful) rakyat malaysia hanyalah pada 17% sahaja.
Ramai yang tak faham mengenai kepentingan pengurusan risiko.
Ada juga yang masih percaya segala kos rawatan di hospital kerajaan akan ditanggung sepenuhnya, jadi mereka beranggap tidak perlu untuk memiliki medical card.

Harimau mati meninggalkan belang.
Manusia mati meninggalkan nama hutang.

Pembetulan pepatah lama mengikut peredaran zaman.
Baru betul kena irama dia betul tak?

● Ada yang membuat simpanan jangka panjang di dalam akaun simpanan di bank sahaja.
Tanpa simpanan di akaun yang memberikan pulangan yang melebihi kadar inflasi, nilai duit akan susut sepanjang tempoh simpanan jangka panjang.

Akaun Simpanan : 0.25%
Inflasi : 2.0% (purata rendah)
Pelaburan : 4.5% (purata rendah)

● Bila sebut pelaburan: Hartanah!
Ramai yang melihat rumah sebagai satu bentuk pelaburan yang menguntungkan.

Ya, rumah boleh menjadi satu bentuk pelaburan yang menguntungkan.
Tapi, rumah yang kita tinggal sendiri adalah liabiliti.

Pasaran jual-beli hartanah juga lebih kepada bermain dengan spekulasi.
Apabila terlalu ramai yang masuk ke dalam pasaran dengan harapan untuk mendapatkan pulangan pelaburan lumayan, maka harga hartanah juga akan meningkat.
Yang merana adalah mereka yang memerlukan rumah sendiri untuk didiami.

(Brian Gable/The Globe and Mail)

● Tiada pendedahan terhadap konsep-konsep asas pengurusan kewangan peribadi.
Contohnya: Segitiga pengurusan kewangan peribadi, pengurusan kad kredit dan pinjaman peribadi, konsep kompaun, peraturan 72, perancangan harta pusaka, dan lain-lain.

Ramai yang tak tahu, atau tak tahu yang perlunya untuk ambil tahu mengenai ilmu-ilmu ini.
Macam Mal sebut di atas, ilmu ini tidak diajar secara formal dan wajib di sekolah dan kebanyakan masyarakat mendapatkan ilmu pengurusan kewangan hanya melalui ibu bapa masing-masing.

Apa dah jadi?

Perbincangan kewangan peribadi adalah satu taboo.

Perbincangan berkaitan kewangan peribadi dianggap terlalu sensitif dan sering dielakkan.

Kita tak mahu rasa dibanding-beza dengan orang lain.
Rasa dikritik dan dipandang rendah.

Sebab tak selesa, maka kita pun mengelak dari berbincang mengenainya.

Tapi cara pemikiran yang kurang sihat ini kalau tak diperbetul, bayangkan apa yang akan terjadi pada generasi-generasi kita yang akan datang.

Pengurusan kewangan peribadi bukanlah semata-mata untuk diri kita sendiri, tapi adalah sebagai satu legasi yang kita tinggalkan buat keturunan kita.

Jadi, janganlah pentingkan diri sendiri.

Timbalah ilmu sebaiknya untuk generasi akan datang.

Apa nak buat?

Tukar pemikiran kita dulu.

Kita tak boleh untuk menukar pemikiran orang lain.
Yang kita mampu hanyalah berusaha untuk menukar pemikiran diri sendiri dan menunjukkan contoh kepada yang lain.

Mal akan kongsikan ilmu berkaitan dengan pengurusan kewangan di blog ini sepanjang tempoh Mal sebagai seseorang yang sedang mula berkecimpung dalam industri ni.

Tiada apa yang Mal harapkan melainkan kawan-kawan Mal juga mendapat manfaat daripada apa yang Mal tulis dan usahakan ini.

Ok sekian sembang kali ni.
Stay tuned!

Jenis Risiko dan Perlindungan

Perkara yang paling penting dalam pengurusan kewangan peribadi (personal finance) adalah berkaitan dengan pengurusan risiko.

Untuk cerita pasal risiko ni ada buku dia yang kawan-kawan boleh baca.
Mal cerita serba ringkas je kat sini.

Ada 4 jenis risiko tulen peribadi iaitu:

  • Risiko kematian pra-matang
  • Risiko kesihatan
  • Risiko pengangguran
  • Risiko umur panjang

Risiko Kematian Pra-matang

Kematian seseorang yang merupakan sumber pendapatan utama kepada sesuatu keluarga secara mengejut dan menyebabkan keluarga yang ditinggalkan terkesan dari segi kewangan.

Risiko ini adalah yang paling biasa kita dengar dan Mal yakin setiap orang ada.
Produk yang dimaksudkan adalah takaful keluarga (hibah).
Sekiranya kita meninggal dunia dalam tempoh sijil masih aktif, waris akan mendapat pampasan kewangan.

Setiap pinjaman peribadi dengan bank pasti akan beserta dengan takaful keluarga atau insurans nyawa.
Beli rumah secara pinjaman pun pasti bank akan suruh kita ambil sekali MRTT/MLTT.
Sebab apa bank mesti nak kita ada takaful hayat atau insurans nyawa?
Sebab kita adalah sumber pendapatan mereka.
Mereka kenalah kena jaga periuk nasi mereka bukan?

Untuk keluarga yang mana si suami sebagai ketua keluarga merupakan sumber utama pendapatan (bread winner) bagi keluarga tersebut, adalah amat perlu untuk sediakan pelan perlindungan takaful keluarga (hibah) yang secukupnya.
Pastikan kebajikan keluarga sentiasa terbela sekiranya berlaku kejadian di luar jangka.

Punca kematian utama di Malaysia berdasarkan kelompok umur (2021)
Sumber: Jabatan Statistik Malaysia

Risiko Kesihatan

Tiada orang yang dijamin tubuh badan yang sentiasa sihat berpanjangan.
Kita kenalah bersyukur dengan kurniaan rezeki kesihatan yang diberi.
Dan semasa masih sihat ni lah kita kena sediakan perlindungan setiba masanya nikmat kesihatan ditarik balik.

Kadar inflasi di Malaysia sekitar 2-3%.
Gaji naik setahun 4% pun dah bersyukur.
Tapi kadar inflasi kos rawatan kesihatan adalah 12% setiap tahun.
Mana mampu nak kejar?

Hospital kerajaan memang bersubsidi, tapi kos bagi rawatan sakit kritikal masih boleh mencecah puluhan ribu ringgit.

Di sinilah pentingnya untuk mengambil pelan takaful kesihatan (a.k.a. medical card).

Statistik punca kematian di Malaysia (2021)
Sumber: Jabatan Statistik Negara

Risiko Pengangguran

Untuk yang bekerja swasta, satu risiko yang kita kena terima adalah kebarangkalian untuk syarikat terpaksa mengubah polisi atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan seperti pandemik yang berlarutan.

Akibatnya ada yang terpaksa dipoting gaji, diberhenti kerja, atau paling sedih syarikat terpaksa ditutup kerana tidak mampu bertahan.

Masa Mal tulis post ni, pandemik Covid-19 masih lagi belum betul-betul reda.
Dah masuk wave keberapa ni pun dah tak tahu dah.

Kalau berlaku pandemik lain lagi di masa depan, bersediakah kita?

Sebab tu pentingnya untuk menyediakan pelan perancangan kewangan peribadi yang lengkap.

Simpanan kecemasan adalah sangat penting.
Medical card juga tak kurangnya, tapi perlu pemilihan yang tepat supaya tak terbeban dengan pembayaran sijil semasa menganggur.

Seramai 694k orang tidak bekerja pada November 2021.
Sumber: Jabatan Statistik Negara

Risiko Umur Panjang

“Aik, umur panjang pun risiko? Tak bersyukur betul la Mal.”

Ya umur panjang yang berlebihan juga risiko.

Bukan tak bersyukur, tapi dengan perubahan demografi zaman sekarang ni kita kena bersedia.

Carta Kitaran Hidup Perancangan Kewangan Peribadi
Carta kitaran hidup sebagai panduan kasar kepada perancangan kewangan peribadi bagi masyarakat secara am

Dengan teknologi perubatan yang sentiasa maju ke hadapan, jangka hayat penduduk di seluruh dunia semakin lama semakin panjang.

Di Malaysia jangka hayat purata pada 2019 adalah sekitar 76 tahun.
Pada 1960, angka tersebut adalah hanya 60 tahun.
Bertambah 16 tahun!

Masa zaman kita bersara nanti agak-agak berapa umur purata nanti ya?

Dalam tempoh 10 tahun, purata jangka hayat rakyat Malaysia bertambah sebanyak hampir 1.5 tahun.

Kita sentiasa mendoakan agar sentiasa dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki.

Tapi rezeki datangnya dari usaha, bukan doa semata-mata.

Dengan umur yang panjang, kita kena berusaha lebih untuk pastikan yang kita mampu untuk bersara dengan tempoh yang lebih panjang.

Dengan umur yang dah lanjut, badan pun dah bermacam penyakit, kos rawatan pun dah membelon dengan inflasi pada zaman tu.
Cukupkah duit simpanan persaraan kita tu nanti?

Jadi, apa kena buat sekarang?

Sementara masih muda bertenaga dan masih mempunyai masa, pilihlah untuk berusaha menyediakan perancangan kewangan peribadi yang menyeluruh demi masa depan.

Pertama : Simpanan kecemasan

Duit yang kita pakai bila berlaku kecemasan seperti kemalangan, kecederaan dan lain-lain.
Bukan kecemasan nak kejar sales shupee ya!

Ada cara kira-kiranya sebagai rule of thumb.
Itu akan Mal sentuh dalam topik lain.

Kedua : Medical Card

Risiko mendapat penyakit kritikal pada zaman sekarang adalah lebih tinggi. Jadi memang no-brainer untuk sediakan pelan perlindungan medical card seawal mungkin.
Lagi awal, lagi murah.

Sebab?

Masa muda risiko kita lebih rendah berbanding orang yang berumur.

Ada produk di luar sana yang boleh memberi perlindungan sampai umur 100 tahun! Kawan-kawan cuma perlu pilih yang sesuai sahaja.

Macamana nak pilih?
Mal ada buat sedikit panduan asas sebagai rujukan.

Ketiga : Perancangan persaraan

Kira banyak mana duit yang kita perlu untuk bersara.
Disinilah datangnya cabang-cabang berkaitan pelaburan dan sebagainya.

Ingat,

You can be young without money,
but you cannot be old without it.

Bab ni Mal kena bukak topik lain. Panjang nak cerita.

Macamana nak buat perancangan kewangan?

Kawan-kawan yang suka buat sendiri boleh DIY dengan baca sumber-sumber lain selain dari blog Mal ni.

Baca semua, hadamkan, buat keputusan dan laksana.
Baca saja tak laksana tak guna.

Tapi yang sebaiknya adalah untuk dapatkan khidmat nasihat secara terus dari perancang kewangan profesional yang berdaftar secara sah (Licensed Financial Planner).
Mereka dah study habis dah semua topik.
Tak perlu buang masa nak baca sendiri. Pening kepala.