Macamana Nak Pilih Pelan Medical Card?

Sambungan kepada post Mal yang lalu:

Mal akan breakdown cara untuk pilih pelan medical card yang terbaik paling sesuai kepada beberapa penulisan. Kalau tulis semua sekali panjang sangat pening nak baca nanti.
Mal akan cuba untuk explain secara detail dan ringkas supaya mudah faham.
Kalau kurang jelas, bagitau kat Mal. Nanti Mal akan adjust.

Jenis Risiko dan Perlindungan

Perkara yang paling penting dalam pengurusan kewangan peribadi (personal finance) adalah berkaitan dengan pengurusan risiko.

Untuk cerita pasal risiko ni ada buku dia yang kawan-kawan boleh baca.
Mal cerita serba ringkas je kat sini.

Ada 4 jenis risiko tulen peribadi iaitu:

  • Risiko kematian pra-matang
  • Risiko kesihatan
  • Risiko pengangguran
  • Risiko umur panjang

Risiko Kematian Pra-matang

Kematian seseorang yang merupakan sumber pendapatan utama kepada sesuatu keluarga secara mengejut dan menyebabkan keluarga yang ditinggalkan terkesan dari segi kewangan.

Risiko ini adalah yang paling biasa kita dengar dan Mal yakin setiap orang ada.
Produk yang dimaksudkan adalah takaful keluarga (hibah).
Sekiranya kita meninggal dunia dalam tempoh sijil masih aktif, waris akan mendapat pampasan kewangan.

Setiap pinjaman peribadi dengan bank pasti akan beserta dengan takaful keluarga atau insurans nyawa.
Beli rumah secara pinjaman pun pasti bank akan suruh kita ambil sekali MRTT/MLTT.
Sebab apa bank mesti nak kita ada takaful hayat atau insurans nyawa?
Sebab kita adalah sumber pendapatan mereka.
Mereka kenalah kena jaga periuk nasi mereka bukan?

Untuk keluarga yang mana si suami sebagai ketua keluarga merupakan sumber utama pendapatan (bread winner) bagi keluarga tersebut, adalah amat perlu untuk sediakan pelan perlindungan takaful keluarga (hibah) yang secukupnya.
Pastikan kebajikan keluarga sentiasa terbela sekiranya berlaku kejadian di luar jangka.

Punca kematian utama di Malaysia berdasarkan kelompok umur (2021)
Sumber: Jabatan Statistik Malaysia

Risiko Kesihatan

Tiada orang yang dijamin tubuh badan yang sentiasa sihat berpanjangan.
Kita kenalah bersyukur dengan kurniaan rezeki kesihatan yang diberi.
Dan semasa masih sihat ni lah kita kena sediakan perlindungan setiba masanya nikmat kesihatan ditarik balik.

Kadar inflasi di Malaysia sekitar 2-3%.
Gaji naik setahun 4% pun dah bersyukur.
Tapi kadar inflasi kos rawatan kesihatan adalah 12% setiap tahun.
Mana mampu nak kejar?

Hospital kerajaan memang bersubsidi, tapi kos bagi rawatan sakit kritikal masih boleh mencecah puluhan ribu ringgit.

Di sinilah pentingnya untuk mengambil pelan takaful kesihatan (a.k.a. medical card).

Statistik punca kematian di Malaysia (2021)
Sumber: Jabatan Statistik Negara

Risiko Pengangguran

Untuk yang bekerja swasta, satu risiko yang kita kena terima adalah kebarangkalian untuk syarikat terpaksa mengubah polisi atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan seperti pandemik yang berlarutan.

Akibatnya ada yang terpaksa dipoting gaji, diberhenti kerja, atau paling sedih syarikat terpaksa ditutup kerana tidak mampu bertahan.

Masa Mal tulis post ni, pandemik Covid-19 masih lagi belum betul-betul reda.
Dah masuk wave keberapa ni pun dah tak tahu dah.

Kalau berlaku pandemik lain lagi di masa depan, bersediakah kita?

Sebab tu pentingnya untuk menyediakan pelan perancangan kewangan peribadi yang lengkap.

Simpanan kecemasan adalah sangat penting.
Medical card juga tak kurangnya, tapi perlu pemilihan yang tepat supaya tak terbeban dengan pembayaran sijil semasa menganggur.

Seramai 694k orang tidak bekerja pada November 2021.
Sumber: Jabatan Statistik Negara

Risiko Umur Panjang

“Aik, umur panjang pun risiko? Tak bersyukur betul la Mal.”

Ya umur panjang yang berlebihan juga risiko.

Bukan tak bersyukur, tapi dengan perubahan demografi zaman sekarang ni kita kena bersedia.

Carta Kitaran Hidup Perancangan Kewangan Peribadi
Carta kitaran hidup sebagai panduan kasar kepada perancangan kewangan peribadi bagi masyarakat secara am

Dengan teknologi perubatan yang sentiasa maju ke hadapan, jangka hayat penduduk di seluruh dunia semakin lama semakin panjang.

Di Malaysia jangka hayat purata pada 2019 adalah sekitar 76 tahun.
Pada 1960, angka tersebut adalah hanya 60 tahun.
Bertambah 16 tahun!

Masa zaman kita bersara nanti agak-agak berapa umur purata nanti ya?

Dalam tempoh 10 tahun, purata jangka hayat rakyat Malaysia bertambah sebanyak hampir 1.5 tahun.

Kita sentiasa mendoakan agar sentiasa dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki.

Tapi rezeki datangnya dari usaha, bukan doa semata-mata.

Dengan umur yang panjang, kita kena berusaha lebih untuk pastikan yang kita mampu untuk bersara dengan tempoh yang lebih panjang.

Dengan umur yang dah lanjut, badan pun dah bermacam penyakit, kos rawatan pun dah membelon dengan inflasi pada zaman tu.
Cukupkah duit simpanan persaraan kita tu nanti?

Jadi, apa kena buat sekarang?

Sementara masih muda bertenaga dan masih mempunyai masa, pilihlah untuk berusaha menyediakan perancangan kewangan peribadi yang menyeluruh demi masa depan.

Pertama : Simpanan kecemasan

Duit yang kita pakai bila berlaku kecemasan seperti kemalangan, kecederaan dan lain-lain.
Bukan kecemasan nak kejar sales shupee ya!

Ada cara kira-kiranya sebagai rule of thumb.
Itu akan Mal sentuh dalam topik lain.

Kedua : Medical Card

Risiko mendapat penyakit kritikal pada zaman sekarang adalah lebih tinggi. Jadi memang no-brainer untuk sediakan pelan perlindungan medical card seawal mungkin.
Lagi awal, lagi murah.

Sebab?

Masa muda risiko kita lebih rendah berbanding orang yang berumur.

Ada produk di luar sana yang boleh memberi perlindungan sampai umur 100 tahun! Kawan-kawan cuma perlu pilih yang sesuai sahaja.

Macamana nak pilih?
Mal ada buat sedikit panduan asas sebagai rujukan.

Ketiga : Perancangan persaraan

Kira banyak mana duit yang kita perlu untuk bersara.
Disinilah datangnya cabang-cabang berkaitan pelaburan dan sebagainya.

Ingat,

You can be young without money,
but you cannot be old without it.

Bab ni Mal kena bukak topik lain. Panjang nak cerita.

Macamana nak buat perancangan kewangan?

Kawan-kawan yang suka buat sendiri boleh DIY dengan baca sumber-sumber lain selain dari blog Mal ni.

Baca semua, hadamkan, buat keputusan dan laksana.
Baca saja tak laksana tak guna.

Tapi yang sebaiknya adalah untuk dapatkan khidmat nasihat secara terus dari perancang kewangan profesional yang berdaftar secara sah (Licensed Financial Planner).
Mereka dah study habis dah semua topik.
Tak perlu buang masa nak baca sendiri. Pening kepala.

Sembang pasal Takaful Medical Card

Apa itu Takaful Medical Card?

Sebelum tu, jom Mal sentuh sikit pasal background perlindungan Takaful dulu.

Perlindungan Takaful terbahagi kepada dua iaitu:

Takaful Am
  • Kenderaan
  • Rumah (MRTT, MLTT)
  • Kebakaran, dll.
Takaful Keluarga
  • Hayat (hibah)
  • Kesihatan (medical card)

Takaful Medical Card terletak di bawah kategori Takaful Keluarga Kesihatan.
Dan kebanyakan Takaful Kesihatan di Malaysia ini adalah jenis rider (add-on option) yang ditambah kepada pelan asas Takaful Nyawa.

Terma Medical Card ni adalah satu kata lain yang kita berikan kepada pelan perlindungan Takaful Kesihatan
Mudah semua orang faham.

Kenapa nak pakai bentuk kad?”

Senang untuk admit ke hospital.
Ibarat macam lesen untuk masuk wad macam tu.

Emergency boleh berlaku bila-bila masa je.
Tak payahlah kita nak usung buku sijil takaful tu ke mana-mana sentiasa. Menyusahkan.
Bawak kad kecik sekeping tu je dah cukup.

Ali yang bijak

Macamana Takaful berfungsi?

Mal bandingkan dengan konsep mudah:

Kutu

Dalam skim kutu tradisional, setiap peserta (participants) akan bayar duit (contribution) setiap bulan ke dalam tabung bersama (fund).
Mengikut giliran yang dipersetujui, setiap bulan salah seorang participant tadi tu akan dapat jumlah duit yang terkumpul dalam tabung tadi tu.
Sepatutnya setiap orang akan dapat jumlah yang sama pada giliran masing-masing kalau semua orang bayar on-time.
Kalau tak, tak adillah kan.
Konsep asasnya adalah untuk forced saving.

Setiap bulan jumlah bayaran dan jumlah agihan adalah sama. Konsep bantu-membantu juga.
Sesuai untuk yang boleh bagi komitmen untuk menyimpan tapi memerlukan jumlah besar segera.

TAKAFUL

Untuk takaful pun konsep dia lebih kurang sama dengan kutu tradisional.
Setiap peserta (participants) akan bayar duit (contribution) ke dalam tabung bersama (fund) juga.
Cuma yang berbeza disini kita tak ada giliran masa agihan simpanan yang dipersetujui.

Yang ada adalah perjanjian di mana kalau sesiapa dari peserta tadi mengalami apa-apa masalah kesihatan, dia akan dapat duit bantuan (claim benefit) dari tabung bersama tadi tu mengikut kadar dan terma yang dipersetujui (benefit schedule) oleh semua peserta dalam tabung tu.

Ilustrasi sekadar contoh.
  • Agihan bantuan hanya diberi kepada peserta yang layak mengikut terma dan syarat yang dipersetujui bersama.
  • Ada yang mungkin tidak membuat sebarang tuntutan sepanjang tempoh sijil.
    Untuk kes seperti ini mereka boleh dapatkan balik baki dari duit contribution sekiranya ada (selepas tolak kos pengendalian dll.)
  • Takaful operator akan memantau dan memastikan jumlah wang terkumpul dalam tabung adalah sentiasa mencukupi dengan membuat underwriting (risk assessment) dan lain-lain.
  • Sekiranya baki jumlah tabung didapati berkemungkinan untuk tidak dapat menampung jumlah tuntutan peserta-peserta dalam tabung itu, maka jumlah bayaran contribution juga akan terpaksa dinaikkan untuk kelangsungan tabung tersebut.

Konsep takaful adalah tolong-menolong antara satu sama lain.
Risiko dibahagi sama rata kepada setiap peserta tabung.
Lagi banyak peserta, lagi rendah risiko purata.
Maka lagi banyak benefit yang boleh diberikan kepada setiap peserta dalam kumpulan tersebut.

Pasal cara kira risiko tu, Mal tak nak sentuhlah kat sini.
Berkitab-kitab nak kena khatamkan tu nanti ngantuk pulak nak baca.

Kenapa nak kena ambil Takaful Medical Card?

Dengan Medical Card, kos rawatan di hospital (swasta atau kerajaan) akan ditanggung oleh tabung takaful. Tanggungan kos penuh atau sebahagian itu bergantung kepada jenis pelan yang diambil (deductible vs full coverage).

“Eh, hospital kerajaan bukan free ke?”

Tidak.
Ada cas-cas tertentu yang pesakit perlu bayar.

Kos rawatan di hospital kerajaan bukan 100% percuma.
Kerajaan hanya subsidi sebahagian dari kos rawatan sahaja.
Masih kena bayar, tapi jauh lagi murah berbanding rawatan di hospital swasta.
Murah-murah pun, boleh cecah puluhan ribu juga.

Ali yang bijak

Tambahan pula pesakit di hospital kerajaan selalunya ramai. Beratur panjanglah nak dapatkan rawatan.
Dah sakit, mana tahan kan.
Nak cepat boleh pergi hospital swasta.
Tanggunglah kos tinggi tanpa subsidi kerajaan.
Dah sakit, kena keluar duit banyak pulak.
Double sakit.

Jadi dengan medical card ni, kita ibarat simpan duit sikit-sikit setiap bulan sebagai payung kalau berlaku apa-apa masalah kesihatan atau kemalangan yang tak ada sesiapa boleh jangka akan berlaku.

Saving/Investing vs Takaful

“Ala, duit saving banyak.
Buat apa bayar commission bulan-bulan kat agent tu. Rugi je.”

Kita berbalik kepada konsep rezeki.
Tidak ada sesiapa yang tahu rezeki masing-masing di dunia ini.
Rezeki (baca: risiko) setiap orang pun berbeza.
Jadi dengan menyertai tabung Takaful peserta dapat mengurangkan tahap risiko mereka dengan berkongsi, dan dengan itu setiap peserta tidak terbeban apabila berlaku kejadian yang tak diingini.

“Duit tabung tu kumpul banyak-banyak diorang buat apa?”

Duit tabung tu bukan masuk terus dalam poket takaful operator ya.
Nama pun operator, tugasnya adalah untuk menguruskan tabung tu sahaja.
Mereka akan mengenakan cas pengurusan (wakalah fee = yuran sebagai wakil untuk menjaga tabung) yang diambil dari contribution peserta setiap bulan tu.

Duit yang dikumpul dalam tabung takaful itu bukan disimpan mati macam tu sahaja. Takaful operator akan laburkan duit itu untuk mendapatkan pulangan yang lebih supaya dapat memberi manfaat kepada peserta dan juga operator. Kadar pembahagian untung dari pelaburan duit tabung itu tertakluk pada jenis produk dan akan ada dinyatakan dalam Product Disclosure Sheet untuk produk takaful tersebut. Dah cari tapi tak jumpa? Tanya agent anda. Kalau dia tidak tahu, sila cari agent lain yang boleh memberi servis nasihat.

Inflasi musuh utama

Dengan takaful operator melaburkan duit terkumpul dalam tabung itu, barulah tabung kita itu dapat melawan arus peningkatan kos perubatan yang meningkat setiap tahun.


Menurut kajian, kadar inflasi kos perubatan di Malaysia adalah sekitar 12% setiap tahun.


Ya, memang ada tempat pelaburan yang boleh memberikan return lebih tinggi dari itu. Tapi belum tentu kita boleh dapat sempat untuk kumpul duit berjumlah puluhan atau ratusan ribu ringgit dalam masa singkat.
Pulangan pelaburan memakan masa.
Takkan kita nak tunggu sampai duit pelaburan dah cukup baru nak dapatkan rawatan bukan?

Case Study

Contoh.

Ali bayar contribution untuk takaful setiap bulan sebanyak RM150 (average).
Selepas 20 tahun, Ali disahkan menghidap kanser.
Kos rawatan dikenakan sebanyak RM200k (contoh)
Dengan Medical Card yang sesuai, semua kos rawatan tersebut akan ditanggung dan Ali tak perlu keluarkan duit poket sendiri pun.

Jom kita kira macamana nak dapatkan RM200k dalam 20 tahun melalui pelaburan.

Ilustrasi sekadar contoh untuk penerangan.

Berbanding dengan tabung-tabung lain, untuk dapatkan jumlah akhir sebanyak RM200k yang sama, setiap bulan Ali perlu bayar antara RM340 ke RM600 setiap bulan.
Melalui takaful, Ali hanya membayar RM150 sahaja setiap bulan.
Dikira secara terbalik, seolah-olah return takaful adalah sebanyak 14.5%!

Ada lagi!

Contoh di atas adalah jika Ali membuat tuntutan sebanyak RM200k hanya setelah 20 tahun.
Kalau ditakdirkan tempoh yang diberi cuma 2 tahun macamana pula?
Bagilah pada portfolio manager mana pun memang tak mungkin dapat nak bagi return RM200k dengan bayaran RM150 setiap bulan dalam tempoh 2 tahun.

Nampak tak betapa pentingnya untuk ada Medical Card sebagai perlindungan?

Macamana Nak Pilih Pelan Medical Card?

Dah jelas kenapa pentingnya untuk ambil Medical Card?
Bagus.

Mal ada perbincangkan berkaitan apa tips untuk pilih pelan Medical Card yang terbaik di sini : Takaful Medical Card Guide

Take care!