Situasi Financial Literacy di Malaysia

Apa itu Financial Literacy?

Celik kewangan.

Ia merujuk kepada kebolehan seseorang untuk:

  • memahami risiko dan menilai kepentingan untuk menyediakan perlindungan samada dengan mengambil pelan takaful atau lain-lain.
  • membuat bajet perbelanjaan bulanan, tahunan, dan jangka panjang.
  • membezakan antara liabiliti dan aset.
  • memahami konsep-konsep asas kewangan seperti kredit, interest, compounding interest, inflasi, diversifikasi, dan lain-lain.
  • memahami konsep pelaburan dan dapat membezakan antara penipuan (scam) dan pelaburan yang sah.
  • dan lain-lain lagi lah.

Realiti kadar Financial Literacy di Malaysia

Masyarakat di Malaysia masih kurang kesedaran mengenai pengurusan kewangan peribadi.

Menurut laporan dari kajian oleh S&P Global Finlit Survey, kadar celik kewangan rakyat Malaysia hanyalah pada 36% sahaja.

Di bawah pula adalah hasil kajian daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

● Satu daripada tiga menyatakan mereka kurang pengetahuan kewangan.
● 75% rakyat Malaysia faham yang inflasi membawa maksud kenaikan kos sara hidup. Tapi hanya 38% yang boleh mengaitkan inflasi dengan kuasa membeli.

● Hanya 43% rakyat Malaysia faham duit berkembang secara kompaun, dan 22% percaya bahawa duit berkembang secara kadar langsung.
● Isi rumah berpendapatan rendah cenderung mempunyai tahap celik kewangan yang lebih rendah.

● 92% rakyat Malaysia mempunyai produk deposit (akaun bank).
Masih kurang yang memiliki produk pelaburan.

Diolah dari sumber: Security Commission Malaysia

Kadar celik kewangan rakyat Malaysia yang rendah

● Ilmu pengurusan kewangan peribadi asas tidak diajar secara wajib.
Dalam kebanyakkan situasi, ilmu kewangan disampaikan kepada generasi akan datang secara terus melalui ibu dan bapa sendiri sahaja.
Tidak semua nasihat yang disampaikan akan boleh digunapakai untuk generasi akan datang.
Dunia kewangan sentiasa berubah mengikut peredaran zaman.
Kalau pakai nasihat yang dah lapuk, memang ketinggalan zamanlah nanti.

● Masih ramai tak mempunyai pelan perlindungan risiko (baca: pelan hibah takaful dan medical card.)
Kadar penembusan takaful (baca: kadar pemilikan takaful) rakyat malaysia hanyalah pada 17% sahaja.
Ramai yang tak faham mengenai kepentingan pengurusan risiko.
Ada juga yang masih percaya segala kos rawatan di hospital kerajaan akan ditanggung sepenuhnya, jadi mereka beranggap tidak perlu untuk memiliki medical card.

Harimau mati meninggalkan belang.
Manusia mati meninggalkan nama hutang.

Pembetulan pepatah lama mengikut peredaran zaman.
Baru betul kena irama dia betul tak?

● Ada yang membuat simpanan jangka panjang di dalam akaun simpanan di bank sahaja.
Tanpa simpanan di akaun yang memberikan pulangan yang melebihi kadar inflasi, nilai duit akan susut sepanjang tempoh simpanan jangka panjang.

Akaun Simpanan : 0.25%
Inflasi : 2.0% (purata rendah)
Pelaburan : 4.5% (purata rendah)

● Bila sebut pelaburan: Hartanah!
Ramai yang melihat rumah sebagai satu bentuk pelaburan yang menguntungkan.

Ya, rumah boleh menjadi satu bentuk pelaburan yang menguntungkan.
Tapi, rumah yang kita tinggal sendiri adalah liabiliti.

Pasaran jual-beli hartanah juga lebih kepada bermain dengan spekulasi.
Apabila terlalu ramai yang masuk ke dalam pasaran dengan harapan untuk mendapatkan pulangan pelaburan lumayan, maka harga hartanah juga akan meningkat.
Yang merana adalah mereka yang memerlukan rumah sendiri untuk didiami.

(Brian Gable/The Globe and Mail)

● Tiada pendedahan terhadap konsep-konsep asas pengurusan kewangan peribadi.
Contohnya: Segitiga pengurusan kewangan peribadi, pengurusan kad kredit dan pinjaman peribadi, konsep kompaun, peraturan 72, perancangan harta pusaka, dan lain-lain.

Ramai yang tak tahu, atau tak tahu yang perlunya untuk ambil tahu mengenai ilmu-ilmu ini.
Macam Mal sebut di atas, ilmu ini tidak diajar secara formal dan wajib di sekolah dan kebanyakan masyarakat mendapatkan ilmu pengurusan kewangan hanya melalui ibu bapa masing-masing.

Apa dah jadi?

Perbincangan kewangan peribadi adalah satu taboo.

Perbincangan berkaitan kewangan peribadi dianggap terlalu sensitif dan sering dielakkan.

Kita tak mahu rasa dibanding-beza dengan orang lain.
Rasa dikritik dan dipandang rendah.

Sebab tak selesa, maka kita pun mengelak dari berbincang mengenainya.

Tapi cara pemikiran yang kurang sihat ini kalau tak diperbetul, bayangkan apa yang akan terjadi pada generasi-generasi kita yang akan datang.

Pengurusan kewangan peribadi bukanlah semata-mata untuk diri kita sendiri, tapi adalah sebagai satu legasi yang kita tinggalkan buat keturunan kita.

Jadi, janganlah pentingkan diri sendiri.

Timbalah ilmu sebaiknya untuk generasi akan datang.

Apa nak buat?

Tukar pemikiran kita dulu.

Kita tak boleh untuk menukar pemikiran orang lain.
Yang kita mampu hanyalah berusaha untuk menukar pemikiran diri sendiri dan menunjukkan contoh kepada yang lain.

Mal akan kongsikan ilmu berkaitan dengan pengurusan kewangan di blog ini sepanjang tempoh Mal sebagai seseorang yang sedang mula berkecimpung dalam industri ni.

Tiada apa yang Mal harapkan melainkan kawan-kawan Mal juga mendapat manfaat daripada apa yang Mal tulis dan usahakan ini.

Ok sekian sembang kali ni.
Stay tuned!

Persoalan Mengenai Hibah Takaful

Sebelum ni Mal dah cerita pasal kenapa perlunya untuk memiliki pelan perlindungan takaful keluarga a.k.a. hibah takaful.

Jadi sekarang Mal nak cerita pulak pasal macamana nak membuat pilihan pelan takaful mana yang sesuai.

Antara soalan yang akan Mal cuba jawab di sini adalah:

  1. Berapa jumlah perlindungan hibah takaful yang perlu?
  2. Berapa jumlah perlindungan hibah takaful yang terlalu banyak?
  3. Bagaimana untuk menilai suatu pelan itu mahal atau murah?
  4. Apa yang perlu kita buat jika pelan yang diambil terlalu mahal?
  5. Apa yang perlu kita buat jika pelan yang diambil tak mencukupi?
  6. Bila perlunya kita untuk mengambil pelan hibah takaful?

Kalau ada soalan lain lagi, boleh pm tepi.
Kita bukak meja soal jawab.

Bagaimana cara untuk menentukan jumlah perlindungan hibah takaful?

Jangan terpedaya dengan kata-kata ejen yang mengatakan kita perlu ambil takaful hibah sehingga RM1 juta tanpa dia lakukan sebarang analisa kewangan kita terlebih dahulu.

Langkah pertama adalah:

① Tentukan bajet untuk perlindungan takaful

Sebagai panduan asas dalam pengurusan kewangan peribadi, jumlah perbelanjaan bulanan untuk perlindungan perlulah berada dalam sekitar 10% daripada jumlah pendapatan bersih kita.

Bajet pelan perlindungan :
10% pendapatan bersih

10% ini merangkumi pelan medical card dan hibah takaful.

Hibah Takaful
Khusus untuk perlindungan terhadap kematian.

Medical Card
Memberi perlindungan terhadap keperluan perubatan yang diluar jangka.

Panduan asas ini sangat berguna untuk kita menilai secara cepat sama ada pelan yang ditawarkan kepada kita tu adakah terlalu mahal atau sebaliknya.

Contoh 1

Pendapatan bersih Ali RM3,000 sebulan.

Maka Ali perlu mengasingkan sebanyak RM300 sebagai bajet untuk perlindungan takaful.

Tapi, rata-rata masyarakat di Malaysia tidak mampu untuk mengasingkan sebanyak 10% daripada pendapatan bersih untuk kedua-dua jenis pelan perlindungan di atas.

Jadi, sebagai keutamaan, Mal sarankan untuk dapatkan pelan Medical Card sahaja dahulu jika kurang mampu.
Kebanyakan pelan medical card adalah dalam bentuk rider kepada pelan hibah takaful, maka memang sangat sesuai untuk kita ambil pelan ini dahulu.
Untuk cara pilih pelan medical card ni Mal dah cerita di dalam post lain hari tu.

Ok sekarang kita dah tahu berapa bajet yang kita ada berdasarkan pendapatan kita.

Bagi yang mampu untuk mendapatkan pelan perlindungan hibah takaful, langkah seterusnya adalah untuk menilai keperluan kita pula.

② Menilai keperluan kita

Sikit tu banyak mana? Banyak tu macamana?
RM100k? RM500k? RM1 juta?

Tiada jawapan yang betul kerana semuanya bergantung kepada situasi masing-masing.

Kita perlu lakukan analisa kewangan untuk menentukan keperluan kita.

Kaedah menganalisa keperluan perlindungan hibah takaful

Ada beberapa cara untuk menganalisa, antaranya:

  1. Human Life Value Method (Kaedah Nilai Nyawa Manusia)
  2. Needs-Based Analysis (Analisa Berdasarkan Keperluan)
  3. Kaedah ringkas : 10 kali ganda pendapatan bersih

Human Life Value Method

Contoh Ali tadi berumur 25 tahun, dan beliau merancang untuk bersara pada umur 60 tahun.

Kita perlu mengira jumlah pendapatan terkumpul beliau sehingga umur bersara dengan mengambil kira kesan inflasi tahunan.

Tempoh sehingga bersara, n : 35 tahun
Pendapatan tahunan, P : 12 x RM3,000 = RM36,000
Kadar inflasi tahunan (anggaran), r : 4%

Dengan menggunakan formula anuiti:

Formula anuiti

36000*(1-(1+4%)^-35)/4% = RM671,926

Ali memerlukan perlindungan hibah takaful sebanyak sekurang-kurangnya RM671k.

Walaubagaimanapun, terdapat beberapa kelemahan kaedah ini:

  1. Perbelanjaan besar dalam hidup seperti berkahwin, membeli rumah, dan lain-lain tidak diambil kira.
  2. Menganggap bahawa pendapatan sepanjang tempoh tersebut adalah sama dan tidak berubah.

Disebabkan oleh kelemahan di atas, kaedah ini semakin jarang digunapakai pada zaman sekarang.

Needs-Based Analysis

Kaedah ini menganalisa keperluan seseorang sebagai titik permulaan dalam membuat perancangan.

Ingat tak Mal cakap. Jangan ambil sebarang pelan tanpa membuat analisa kewangan terlebih dahulu.

Jadi, sebelum kita mendapatkan khidmat nasihat ejen takaful, Mal sarankan untuk kita analisa keperluan diri sendiri terlebih dahulu.

Bukan apa, Mal risau nanti ada yang tersalah ambil pelan kerana kurang faham.

Kalau boleh kita nak elakkan dari terlebih dan terkurang jumlah perlindungan yang perlu.

Contoh 1

Suami 27 tahun.
Bekerja sebagai auditor yang kerap outstation.
Isteri pula 23 tahun.
Suri rumah sepenuh masa.
Mempunyai anak 2 orang.

Dalam kes ini, sumber pendapatan isi rumah bergantung kepada si suami sahaja.

Si suami is the sole breadwinner.

Maka keperluan utama dalam keluarga ini adalah pelan yang boleh memberikan pengganti terhadap sumber pendapatan si suami sekiranya berlaku apa-apa.

Contoh 2

Suami 27 tahun.
Bekerja sebagai auditor yang kerap outstation.
Isteri 23 tahun.
Seorang guru sepenuh masa.
Mempunyai anak 2 orang.

Untuk kes ini pula terdapat 2 punca pendapatan di dalam isi rumah.
Di sini jumlah perlindungan akan bergantung kepada keperluan si isteri tersebut.

Adakah si isteri bekerja kerana perlu untuk menampung keperluan harian keluarga?

Atau pendapatan si suami sahaja sudah cukup untuk menampung keperluan asas keluarga, dan si isteri hanya bekerja untuk menambah pendapatan keluarga?

Jumlah perlindungan minima akan berbeza berdasarkan situasi di atas.

Contoh 3

Situasi asas sama dengan contoh 1.

Bezanya di sini si suami merancang untuk anak-anak beliau belajar sehingga ke peringkat phd.

Dari sini jumlah yang diperlukan tidak ada kaitan dengan pendapatan si suami yang perlu diganti dan sebagainya kerana fokus utama hanyalah untuk mendapatkan jumlah wang yang dianggarkan cukup untuk mencapai objektif tersebut.

Kaedah ringkas : 10 kali ganda pendapatan bersih

Kaedah ini paling mudah dan ringkas.

Kita gandakan pendapatan tahunan sebanyak 10 kali ganda sahaja.

Anggaran 10 kali ganda adalah dibuat berdasarkan kepada tempoh 10 tahun untuk ahli keluarga kita kembali menapak semula setelah ketiadaan kita.

Oleh kerana kaedah ini menggunakan tempoh yang tetap selama 10 tahun, dan tidak mengambil kira kesan inflasi, jumlah perlindungan yang dikira di sini akan lebih rendah berbanding dari HLV (kecuali untuk tempoh yang lebih singkat).

Dari segi keselamatan, kaedah ini adalah kurang memuaskan.
Namun, ia membolehkan kita untuk mendapatkan gambaran jumlah perlindungan minima yang perlu dengan pantas.

Contoh

Pendapatan tahunan : RM36,000
Jumlah perlindungan diperlukan = 36,000 x 10 = RM360,000

Apa perlu buat kalau pelan terlalu mahal atau tak mencukupi?

Sekiranya kawan-kawan dah ada mengambil pelan takaful, alhamdulillah.
Seronok Mal dengar.

Tapi pasaran takaful adalah kompetitif.

Banyak pelan-pelan baru diperkenalkan yang mampu memberikan perlindungan yang lebih baik daripada pelan-pelan sebelumnya.

Bukan sebab itu je lah.

Dalam tempoh 3-5 tahun macam-macam boleh berlaku bukan?

Ada yang dari bujang, dah berkahwin.
Yang berkahwin, dah ada anak.
Daripada duduk menyewa, sekarang dah beli rumah sendiri.
Beli kereta yang lebih selesa.

Dan macam-macam lagi lah.

Kita perlu semak semula pelan perlindungan kita pada kitaran 3-5 tahun sekali kerana perubahan terhadap gaya hidup biasanya akan berlaku dalam tempoh kitaran tersebut.

Jadi, kita kena pastikan yang pelan perlindungan kita itu juga seiring dengan perubahan gaya hidup kita.

Macamana nak semak semula?

Dapatkan khidmat nasihat ejen kawan-kawan semula.
Kalau nak dapatkan pandangan kedua dari Mal pun boleh.

Mai bincang dengan Mal!

Bila kena ambil pelan takaful?

Seawal mungkin.

Kos perlindungan meningkat seiring dengan peningkatan risiko.

Risiko pula akan meningkat seiring dengan usia.

Semakin meningkat usia, semakin tinggi kos perlindungan takaful (exponential)

Dan yang paling penting kita kena ingat yang tiada sesiapa merancang untuk menghadapi sebarang kemalangan.

Yang kita boleh buat hanyalah untuk merancang apa yang sepatutnya dilakukan sekiranya kemalangan tersebut berlaku.

Jadi, apa tunggu lagi? Dapatkan pelan perlindungan takaful segera!

Sembang pasal asas Personal Finance

Bila berkata mengenai personal finance, Mal rasa mesti semua orang akan cakap pasal savings dan bajet betul?

Tapi kawan-kawan tahu tak yang ada yang lagi penting daripada mmebuat savings dan bajet?

Pernah dengar pasal Personal Finance Triangle?

Personal Finance Triangle ni adalah panduan asas kepada pengurusan kewangan kita.

Yang bawah paling penting. Tapak asas kepada tingkat-tingkat seterusnya.
Kalau tiang dah goyah, macamana nak sokong atap, betul?

Post kali ni Mal nak sentuh sebahagian sahaja dari Personal Finance Triangle ni.

Topik berkaitan dengan tapak dia iaitu Protection atau perlindungan.

Tingkat Satu : Perlindungan / Protection

“Perlindungan? Malaysia ni kan aman damai. Bukan ada perang macam kat Ukraine sekarang tu. Nak berlindung dari apa pulak?”

Topik perlindungan ni luas sebenarnya.
(dan mulut jangan celupar ya.)

Cuba kita tengok definisi perlindungan dalam kamus dewan bahasa dan pustaka:

Perlindungan

[per.lin.du.ngan] | ڤرليندوڠن

Definisi :

1. tempat yg melindungi, tempat berlindung: pd hari hujan, atap itu menjadi ~;

2. perihal (tindakan dsb) melindungi (mis dgn bantuan, pertolongan,dll)

Dalam erti kata lain, maksudnya kita berlindung daripada sesuatu yang tak diingini.

Apa yang kita paling tak ingini bila bercakap pasal duit?

Kehilangan punca rezeki.

Pada Mal ini adalah risiko yang paling penting untuk kita uruskan dalam kehidupan kita.

Sebab apa?

Sebab kita tidak dijanjikan sesuatu pun melainkan mati.
Rezeki yang kita nikmati sekarang boleh ditarik bila-bila masa.
Jadi adalah tanggungjawab kita untuk menguruskan sendiri risiko kehilangan punca rezeki.

Risiko diluar Jangka

Kita dah masuk tahun ke-2 pandemik Covid-19 sekarang.
Mal tahu ramai yang terkesan disebabkan pandemik ni.

Ada yang dibuang kerja.
Ada yang dipotong gaji.

Ada yang kena Covid. Sekali dapat bil hospital sampai ratus-ratus ribu.

Yang lebih sedih, ada yang kehilangan ahli keluarga, sahabat dan sebagainya.
Yang mak hilang anak.
Yang anak hilang ayah.
Yang isteri hilang suami.

Ada beberapa kes kehilangan yang terdekat dengan Mal sendiri.
Bila Mal dengar cerita diorang, terasa amat-amatlah diperingatkan dengan kata-kata mati itu pasti.
Ia boleh berlaku bila-bila masa sahaja tanpa amaran.

Ada yang baru disahkan positif Covid dalam tak kurang seminggu sahaja sebelum menghembuskan nafas terakhir.
Tak siapa sangka dan amat mengejutkan.

Nikmat kesihatan dan kehidupan kita boleh ditarik sekelip mata.
Kita boleh pergi bila-bila masa sahaja.
Semuanya diluar keupayaan kita untuk menjangka.

Jadi, sebelum kita pergi, terutama sebagai ketua keluarga, ambillah perlindungan pendapatan untuk keluarga kita.

“Oo.. Jadi, nak kena start saving la ni ya?”

Saving memang perlu, tapi ia bukanlah tapak paling asas dan tak termasuk dalam kategori perlindungan.

Sila rujuk kembali Personal Finance Triangle tu.

Asas kepada perancangan kewangan adalah Pelan Perlindungan

Yang dimaksudkan pelan perlindungan adalah

Takaful Kesihatan (Medical Card)

dan juga

Takaful Keluarga (Hibah).

Takaful medical card adalah untuk menampung pembiayaan perubatan diluar jangka, dan takaful keluarga adalah untuk memberi pampasan dalam bentuk hadiah (hibah) kepada keluarga kita sekiranya kita ditakdirkan untuk pergi dahulu secara mengejut diluar jangka.

“Ala, mahal la nak amek takaful ni. Kang bukannya pakai pun. Rugi jer.”

Ingat, kita ambil takaful bukan untuk diri sendiri, tapi adalah untuk orang yang kita sayang.

Kita tahu bila kita akan nak kemalangan?
Kita tahu bila kita akan dijemput ilahi?

Kalau kawan-kawan tahu jawapan bila kepada 2 soalan diatas, boleh abaikan apa yang Mal bebel pasal Personal Finance Triangle di atas.
Memang rugi ambil takaful. Lebih baik ambil insurans.

Sebab kita manusia biasa yang tak tahu jawapan kepada soalan tu, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk membuat persediaan yang sepatutnya.

Your Life is Your Family’s Life too.

Q: Dah ada perlindungan, next step apa pulak?

Tu nanti Mal sambung sembang pasal tingkat kedua dalam Personal Finance Triangle.

Stay tuned~

Harga Room & Board dan Cara Pilih

R&B membawa maksud Room & Board.

Bahasa mudahnya, harga sewa bilik wad di hospital.
Dan harga pakej bilik adalah termasuk makanan dan lain-lain servis berkaitan.

Harga bilik wad hospital berbeza mengikut jenis dan saiz.
Untuk saiz ada yang bilik single, kongsi 2 orang, 4 orang, dan lain-lain.

Harga R&B untuk bilik private single dah pastilah mahal, dan bilik kongsi dah pasti murah.

Kita boleh pilih berapa harga bilik yang akan ditampung oleh pelan takaful medical card kita.

Harga pelan R&B paling murah di pasaran sekarang adalah RM100 satu malam dan paling mahal pula ada yang sampai RM2,000 satu malam.

“Wow, 1 bilik 1 malam boleh sampai RM2,000? Kalah harga hotel ni.”

Ya, julat harga memang besar sebab keperluan dan kemahuan setiap individu berbeza.
Jadi kita kenalah pilih yang sesuai dengan keperluan kita.

Contoh gambar bilik single di Hospital Gleaneagles, Medini, Johor.

Q : Macamana nak pilih?

A : Macam Mal cakap tadi,ikut keperluan dan keselesaan kita.

Tapi sebagai panduan asas jom Mal cerita sikit.
Tak adalah nanti terpinga-pinga nak pilih pakej R&B berapa kan?

Contoh panduan asas pemilihan harga pelan R&B

Mal rasa rata-rata semua orang sukakan privasi jadi dah tentu bilik jenis single menjadi pilihan.

Tapi bilik single mempunyai demand yang tinggi dan supply yang terhad, jadi harganya memang mahal sikitlah.

Jom kita survey harga bilik hospital di Malaysia.

Kita target bilik single standard sahaja dulu.

Menurut kajian ringkas, kadar harga bilik purata setiap negeri pada tahun 2020 adalah dalam lingkungan RM150-230 (kecuali di Penang pada RM280).

Harga bilik bergantung pada hospital, negeri, lokasi, dan lain-lain.
(Cari : “Malaysian Hospital Room Rates”)

Kemudian,

Walaupun kos rawatan meningkat dengan kadar inflasi sehingga lebih daripada 12% setahun, tapi menurut data setakat ni harga R&B di hospital tidaklah meningkat pada kadar yang sama.

Menurut data, peningkatan harga R&B hanyalah sekitar 1% sahaja setahun dalam tempoh 5 tahun kebelakang dari tarikh kajian.

Jadi, berdasarkan data ni, Mal rasa adalah sesuai untuk kita pilih pelan R&B dalam lingkungan RM250 sahaja.
Pada kadar inflasi 2%, harga bilik masih tidak jauh berbeza dari had ini untuk tempoh sehingga 10 tahun akan datang.

Unjuran harga bilik dengan harga RM250 untuk 20 tahun dengan kadar inflasi 2%.

Tapi!

Harga yang Mal pilih ini cuma panduan am sahaja ya.
Sila ambil perhatian yang asas kepada pilihan Mal di atas adalah seperti berikut.

  • Pilihan bilik adalah jenis single standard sahaja.
  • Harga pilihan adalah berdasarkan purata harga bilik di Hospital di Malaysia. Purata harga adalah berbeza mengikut negeri.
  • Pelan pilihan boleh menampung keseluruhan atau sekurang-kurangnya 90% dari harga R&B yang dipilih.
  • Pelan pilihan akan relevan selama tidak kurang 5 tahun dari sekarang sebelum penambahan bayaran perlu dibuat kepada harga R&B.

Apa-apa pun, Mal nasihatkan untuk minta quotation dari ejen bagi harga R&B yang lain untuk buat perbandingan harga pelan keseluruhan.

Yang penting kita mampu untuk bayar bulanan takaful tu.

Q: Kalau harga bilik lebih mahal dari pelan macamana?

“Mal, kalau ambik pelan RM150, tapi harga bilik RM200, nanti jadi macamana pulak? Nak kena bayar sendiri ke?”

Berkenaan lebihan harga bilik dari kadar pelan yang dipilih, sila baca dulu apa syarat yang dikenakan oleh pihak takaful operator.
Kalau tak tahu nak cari di mana, sila tanya pada ejen masing-masing.

Tapi ikut yang Mal kaji, kebanyakan produk mengenakan syarat di mana kita hanya perlu topup lebihan harga tadi tu dan cas-cas tambahan lain yang terlibat.

Kata Akhir

Info yang Mal kongsikan di atas adalah sebagai panduan kasar sahaja ya. Apa-apa pun, pastikan untuk bincang dan dapatkan nasihat dari ejen masing-masing.

Apa itu Deductible (Co-takaful)?

Deductible atau co-takaful merujuk kepada sejumlah amaun yang kita sebagai peserta perlu bayar dahulu pada setiap kali kita perlu masuk wad, sebelum pihak takaful akan membayar kos selebihnya.

Ada produk yang memang datang dengan deductible, dan ada yang kita diberi pilihan untuk menambah deductible atau tidak.

“Aih, kita ambil medical card ni untuk dapat perlindungan penuh tak nak kena bayar. Nak kena bayar jugak ni kenapa pulak?”

Apa kelebihan deductible?

Ada beberapa sebab kenapa kita digalakkan untuk mengambil pilihan pelan dengan deductible.

1. Penyesuaian perlindungan dengan pelan lain yang sedia ada.

Contoh:

Kita dah ada pelan perlindungan lain seperti takaful berkelompok (Group Term Takaful, GTT) yang disediakan oleh pihak majikan, ataupun pelan takaful persendirian lain tapi had tahunan adalah rendah. Contohnya had tahunan cuma RM50,000.
Mengikut keperluan semasa, RM50,000 memang tak cukuplah.

Jadi kita mengambil inisiatif untuk menambah perlindungan dengan mengambil pelan takaful medical card lain.

Tapi sebab kita dah ada perlindungan RM50,000 tadi, untuk pelan takaful yang baru itu kita boleh memilih untuk mengambil deductible sehingga RM50,000.

2. Mengurangkan kos caruman

Dengan mengambil pilihan pelan dengan deductible, kita dapat mengurangkan kos caruman bulanan kita.

Tapi ini cuma sesuai untuk orang yang masih muda, sihat dan berisiko rendah, di mana mereka ini jarang mendapat penyakit.

Dan, cara pendekatan yang kita gunapakai di sini adalah, jumlah kecil deductible yang kita perlu keluarkan tadi kita ambil dari tabung kecemasan kita.

Ingat tak asas Personal Finance Triangle yang Mal cerita hari tu?

Personal Finance Triangle

Bagaimana deductible berfungsi?

Contoh 1
Contoh pelan dengan deductible RM50,000.

Contohnya kita dah ada pelan perlindungan Group Term Takaful (GTT) dari majikan dengan had tahunan RM50,000. Jadi kita pun pilih pelan takaful dengan deductible sebanyak RM50,000.

Kemudian, kos rawatan yang dikenakan pula adalah sebanyak RM200,000.

Jadi, untuk RM50,000 pertama kita boleh tolak dari GTT majikan dahulu sebagai deductible.

Baki selebihnya barulah kita buat tuntutan kepada pelan takaful persendirian kita tadi.

“Oo.. Kalau tak ada GTT tu macamana pulak?”

Contoh 2
Contoh pelan dengan deductible RM500

Kalau tak ada GTT, janganlah nak ambil deductible sampai RM50,000 pulak. Menyesal tak kesudah nanti…

Contoh kita ambil pelan dengan deductible RM500.

Sama seperti contoh 1 dengan GTT tadi juga, cuma disini kita sendiri kena keluarkan duit sendiri sebanyak RM500 sebelum masuk ke dalam wad.

Baki selebihnya akan dibayar dari dana takaful.

“Wah, parahlah kalau setiap kali masuk hospital nak kena bayar RM500. Apa guna ambil medical card macam ni.”

Jumlah deductible adalah merujuk kepada quota untuk satu tahun, bukan untuk setiap kali kita mendapatkan rawatan.

Tapi ini adalah bagi kebanyakan produk. Sila double check terma dan syarat deductible pelan masing-masing ya.

Contoh 3
Contoh pelan dengan deductible RM1,000

Untuk contoh di atas, pelan deductible adalah sebanyak RM1,000.

Rawatan pertama kita dicas sebanyak RM500.

Disebabkan bawah dari jumlah deductible yang dipilih, kita kena bayar penuh kos rawatan sebanyak RM500 tu.

Kemudian, dalam tahun yang sama juga, kita perlu mendapatkan rawatan susulan pula.

Kali ni kos rawatan adalah RM20,000.

Disebabkan kita pernah membayar deductible kos rawatan pertama sebanyak RM500, jadi untuk rawatan kali ke-2 ini kita perlu keluarkan baki deductible sebanyak RM500 sahaja. Bayaran selebihnya sebanyak RM19,500 akan dibayar dari dana takaful.

Contoh 4
Contoh pelan dengan deductible RM1,000

Untuk contoh di atas pula kalau dalam setahun kita perlu mendapatkan rawatan beterusan.

Dalam kes ini, untuk rawatan kali ke-3, disebabkan kita sudah keluarkan bayaran penuh deductible sebelum itu, maka seluruh kos rawatan akan ditanggung oleh dana takaful.
Kita tak perlu membayar sebarang deductible lagi.

Tapi!

Ada produk yang menyatakan deductible adalah untuk setiap kali mendapatkan rawatan dan bukanlah quota tahunan.

Jadi sila pastikan untuk menyemak terma dan syarat deductible dalam pelan masing-masing ya.

Q: Jadi, perlu ke ambil deductible?

Pilih TANPA deductible jika kita
  • Ada sejarah penyakit kronik yang memerlukan rawatan berterusan, atau preskripsi ubat-ubatan yang mahal.
  • Memiliki kanak-kanak kecil (kos rawatan kanak-kanak yang tinggi)
  • Sering membuat aktiviti luar yang berisiko tinggi seperti memanjat gunung, dll.
Pilih DENGAN deductible jika kita
  • Masih muda, sihat, berisiko rendah untuk mendapat kecederaan atau penyakit.
  • Mampu untuk membayar amaun deductible jika berlaku sebarang kejadian tak di duga.
Tapi!

Untuk sesetengah pelan, kita tiada pilihan untuk tidak mengambil deductible.
Jadi sila pastikan kita faham jenis pelan yang kita ambil.

Akhir Kata

Pada pendapat Mal, sebaiknya janganlah ambil pelan dengan option deductible yang tinggi walaupun kita dah ada Group Term Takaful dari majikan.

Sebab?

Terdapat risiko yang diluar kawalan kita.
Antaranya:

  • Kelebihan Group Term Takaful tersebut boleh berubah.
  • Berlaku perkara lain yang diluar jangka seperti diberhentikan kerja
  • Syarikat mengalami masalah kewangan dan kelebihan ditarik
  • Pandemik seluruh dunia yang member impak negatif kepada ekonomi dan syarikat

Jadi, lebih baik untuk kita betul-betul mengawal risiko kita sendiri. Ambil endah keperluan perlindungan kita tanpa perlu bergantung harap kepada pihak yang lain.

Tapi

Kalau kita memang dah ada medical card persendirian lain tapi had perlindungan adalah rendah, jadi sesuailah untuk mengambil deductible pada pelan baru yang bertujuan untuk menambah perlindungan sedia ada

Apa-apa pun, kes setiap orang adalah berbeza.

Pastikan kawan-kawan bincang dahulu dengan ejen masing-masing untuk dapatkan nasihat terbaik.

Di sini Mal Cuma sampaikan nasihat asas secara am sahaja.

Medical Card Stand-Alone atau Rider?

Terdapat 2 jenis Takaful Medical Card di pasaran Malaysia iaitu:

Medical Card Jenis Stand-Alone

Produk takaful yang khusus untuk medical card sahaja.
Tidak ada saving, investment, hibah dan lain-lain.

Kelebihan?

Bayaran adalah murah.

Kekurangan?

Kebanyakannya tiada Cash Value. Ibarat macam bayar insurans/takaful kereta.
Matlamat hanya untuk perlindungan semata-mata.
Pelan jenis ini sesuai untuk mereka yang ingin melengkapkan atau menambah perlindungan yang sedia ada.

Daripada yang Mal kaji, lebih kurang separuh daripada produk takaful medical card di Malaysia ni adalah jenis stand-alone.

Medical Card Jenis Rider

Istilah “Rider” dalam takaful merujuk kepada perlindungan tambahan (add-on) yang ditambah kepada pelan asas.

Pelan asas di sini adalah pelan perlindungan takaful keluarga (hibah).

Dalam produk takaful keluarga (hibah), antara rider yang biasa ditawarkan adalah seperti:

  • Medical card
  • Elaun harian ketika masuk wad
  • Pampasan tambahan untuk penyakit kritikal, dll.
  • Pengecualian pembayaran caruman (tabarru’)
  • Dan lain-lain

Kekurangan?

Sebab medical card jenis rider adalah jenis perlindungan tambahan kepada pelan asas, maka jumlah caruman menjadi lagi mahal berbanding dengan plan stand-alone.

Kelebihan?

Perlindungan yang lebih menyeluruh dengan adanya hibah.
Dan kebanyakan pelan akan mempunyai Cash Value.
Maka peserta akan dapat sebahagian dari jumlah caruman yang dibayar sekiranya sijil diserah semula (surrender).

Perbezaan kedudukan medical card jenis rider dan stand-alone.
Stand-alone tidak berada di bawah mana-mana pelan

Mana nak tahu produk tu stand-alone atau rider?


Tu kawan-kawan boleh belek Product Disclosure Sheet bagi produk tersebut.
Nak lagi senang, tanya je ejen masing-masing produk medical card tu jenis apa.

Ringkasan perbezaan Medical Card jenis Stand-alone & Rider
Cash Value..?

“Dari tadi dok sebut pasal Cash Value. Apa tu?”

Untuk cerita pasal Cash Value ni kawan-kawan boleh rujuk pada posting Mal berkenaan Konsep Perniagaan Takaful.

Q: Jadi, mana yang terbaik?

Tiada jawapan yang tepat.
Kena berbalik kepada kemampuan dan keperluan masing-masing.

Macam yang Mal terangkan dalam asas Personal Finance Triangle, peruntukkan 10% dari jumlah pendapatan bersih kita untuk pelan perlindungan.
Jangan lebih, jangan kurang.

Yang paling penting dapatkan khidmat nasihat daripada ejen takaful yang sah.
Apa yang Mal tulis di sini hanyalah panduan asas secara kasar sahaja.

Pelan Takaful Tradisional vs Investment-Linked (ILP)

Pada masa Mal tulis posting ni, terdapat 11 Takaful Operator berdaftar di Malaysia.
Setiap takaful operator menawarkan pelbagai jenis produk yang unik untuk memenuhi keperluan perlindungan individu yang berbeza.

Untuk produk takaful pula, Mal rasa antara topik yang hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini adalah simpanan dan pelaburan dalam pelan takaful.

Investment-Linked Plan (ILP)

Perlindungan dan pelaburan dalam satu pelan.

2-in-1!

Pelan terbaik yang lengkap… bukan?

Jom kita bincang sikit pasal pelan takaful ILP ni.

Apa itu Takaful ILP?

Kawan-kawan boleh baca sikit dulu berkaitan dengan Konsep Perniagaan Takaful Keluarga yang Mal kongsikan sebelum ni.

Pada asasnya, kebanyakan pelan Takaful yang ada di pasaran di Malaysia ni menggunakan model perniagaaan yang sama.

Dalam pelan produk yang bukan dipasarkan sebagai ILP, segala keputusan berkenaan pelaburan duit di dalam Akaun Peserta dan Dana Risiko Bersama Peserta dibuat oleh Takaful Operator.

Kita sebagai peserta cuma tiada kuasa untuk memilih.

Perbezaan pada Takaful ILP adalah di mana kita sebagai peserta diberi peluang untuk memilih ke tabung mana duit di dalam Akaun Peserta kita itu dilaburkan.

Di dalam pelan Takaful ILP, peserta boleh memilih ke mana duit di dalam Akaun Peserta akan dilaburkan.

Apa Kelebihan Takaful ILP?

Ada beberapa kelebihan model takaful ILP berbanding tradisional.

  • Akaun Peserta Individu menjadi pelampung kepada kos tabarru’ yang akan meningkat seiring masa. Jadi bayaran caruman tidak akan meningkat sekerap dan setinggi pelan tradisional.
  • Sekiranya kita berhadapan dengan kesulitan untuk membayar caruman, duit di dalam Akaun Peserta Individu boleh digunakan untuk membayar kos tabarru’. Tapi hanya untuk kes kecemasan sahaja ya dan hanya sekiranya baki di dalam Akaun Peserta kita itu mencukupi.
  • Sijil tidak akan terbatal serta-merta jika kita terlepas jadual pembayaran, sekiranya baki di dalam Akaun Peserta Individu masih mencukupi untuk menampung kos tabarru’.
  • Mendisiplinkan diri kita secara forced savings untuk menyimpan.
Ilustrasi ringkas perbezaan antara pelan takaful tradisional dan ILP dari segi bayaran caruman

Pada awalnya pelan ILP akan perlu membayar caruman yang ketara lebih tinggi berbanding dengan pelan tradisional.

Tetapi bayaran caruman pelan ILP akan lebih mendatar berbanding dengan pelan tradisional pada jangka panjang.

Q: Kenapa caruman boleh mendatar?
A: Kerana nilai tunai akaun peserta adalah tinggi
Ilustrasi ringkas kaitan antara bayaran caruman, kos tabarru’ dan nilai tunai pelan takaful.
  • Pada awalnya, kita akan membayar caruman (garisan hijau) yang lebih tinggi daripada jumlah sebenar kos tabarru’.
  • Baki dari bayaran caruman tu akan dimasukkan ke dalam Akaun Peserta Individu (garisan merah).
  • Kos tabarru’ (garisan biru) akan meningkat seiring masa kerana kos rawatan dan kesihatan meningkat setiap tahun (purata 12% setahun).
  • Hingga pada suatu masa, kos tabarru’ akan melampaui bayaran caruman kita.
  • Apabila ini berlaku, duit di dalam Akaun Peserta Individu akan digunakan untuk menampung perbezaan kos tersebut. Jadi kita tak perlulah untuk menambah bayaran caruman setiap bulan.
  • Seiring masa, jumlah duit di dalam Akaun Peserta Individu (garisan merah) kita akan menyusut kerana digunakan untuk menampung defisit bayaran tabarru’ tadi.

TAPI!

Harus Mal ingatkan ya

1. Bayaran caruman malar sepanjang tempoh sijil adalah tidak dijanjikan.
2. Nilai Tunai adalah tidak dijamin.

Ini adalah kerana prestasi Akaun Peserta Individu adalah tidak dijamin.

Ada masa pulangannya lumayan.

Ada masa pulangannya rendah dari yang dirancang.

Lumrah melabur.

Ada kemungkinan yang pihak Takaful Operator terpaksa juga meningkatkan bayaran caruman kita demi kelangsungan dana takaful tersebut.

Adakah produk takaful ILP ini terbaik?

Tidak.

Tiada pelan yang terbaik untuk semua individu.
Yang ada hanyalah pelan yang paling sesuai kepada keperluan setiap individu.

Macam Mal selalu tekankan, sila dapatkan khidmat nasihat dari ejen takaful masing-masing.

“Kejap, kan ada “Investment” dalam ILP tu. Macamana pulak ceritanya?”

Pada pandangan Mal, ciri-ciri pelaburan yang ditawarkan dalam produk takaful ILP adalah lebih kepada penambah-baikan kepada ciri-ciri produk takaful sahaja seperti yang Mal terangkan di atas.

Berdasarkan kajian ringkas yang Mal buat, pulangan pelaburan di Takaful ILP tidak dapat dibandingkan dengan pulangan di instrumen pelaburan khusus lain yang lebih tinggi.

Asingkan

Pelan Perlindungan

dari

Pelan Pelaburan

Nak pulangan hebat? Ada lagi tempat lain yang boleh beri pulangan tinggi sehingga 2 digit seperti Unit Trust.

Nanti Mal akan update cerita pasal Unit Trust pulak lepas habis cerita pasal Takaful.

Stay tuned~

Konsep Perniagaan Takaful Keluarga

Untuk topik kali ni agak berat dan bosan sikit.
Tapi Mal nak share jugak sebagai rujukan kawan-kawan.

Di seluruh dunia ni, Malaysia merupakan antara pioneer dalam industri Takaful.
Banyak negara merujuk kepada sistem dan model yang diguna-pakai di negara kita.

Hebat tak?

Secara am, terdapat 2 jenis model asas perniagaan yang diguna-pakai di dalam industri Takaful:

Mudarabah

Wakalah

Mudarabah

Satu bentuk kontrak perkongsian keuntungan.

Kita sebagai peserta takaful menyediakan dana, dan takaful operator akan melaburkan dana tersebut.

Takaful Operator menjana pendapatan dengan menerima sebarang keuntungan daripada pelaburan akan di kongsi bersama pada kadar yang dipersetujui.

Wakalah

Senang kita ingat maksud perkataan wakil.

Takaful Operator hanyalah berfungsi sebagai wakil untuk menjaga tabung-tabung dalam produk takaful yang ditawarkan.

Takaful Operator menjana pendapatan dengan:

  • Mengambil upah sebagai wakil (wakalah fee) dari bayaran contribution kita bulan-bulan.
  • Mengambil upah untuk mengurus dana (performance fee) pelaburan kita tadi.

Walaubagaimanapun, prinsip wakalah dan variasinya merupakan model perniagaan yang paling meluas di Malaysia sekarang menggantikan mudarabah.

Jadi sebagai konsumer, kita tak perlu nak tengok produk takaful tu menggunakan prinsip wakalah atau mudarabah.

Macamana konsep takaful keluarga berfungsi?

Takaful keluarga (hibah) adalah bersifat jangka panjang.
Tempoh sijil berlangsung boleh lanjut sehingga 99 tahun.
Jadi ianya adalah suatu bentuk komitmen jangka panjang.

*Tidak semua operator menggunakan model yang sama seperti di dalam ilustrasi di atas.
※ 1 Merujuk kepada Dana Shareholder Takaful Operator.
※2 Qardh : Pinjaman tanpa faedah yang diberikan oleh Takaful Operator sekiranya berlaku defisit dalam Dana Risiko Bersama Peserta (PRF).

Ilustrasi di atas menunjukkan carta alir pergerakan dana di dalam satu sistem takaful keluarga.

  1. Peserta membayar duit caruman (contribution) kepada takaful operator.
  2. Takaful operator akan memasukkan duit caruman tersebut ke dalam Akaun Peserta
  3. Kemudian duit akan disalurkan dari Akaun Peserta kepada Dana Risiko Bersama Peserta mengikut kadar risiko peserta semasa.
    Ini yang dipanggil sebagai Tabarru’.
  4. Duit di dalam Akaun Peserta dan Dana Risiko Bersama Peserta akan dilaburkan untuk mendapat pulangan keuntungan.
    Pihak takaful operator akan mengenakan bayaran sebagai upah kepada usaha mereka melaburkan dana tersebut.
  5. Apabila berlaku sebarang tuntutan, duit akan dikeluarkan daripada Dana Risiko Bersama Peserta.
  6. Pada hujung tahun semasa nak tutup buku, jika terdapat lebihan (surplus) dalam pelaburan pada Dana Risiko Bersama Peserta, keuntungan akan dimasukkan kembali ke dalam dana.
    Pihak takaful operator akan mengenakan bayaran sebagai upah kepada usaha mereka melaburkan dana tersebut.
  7. Jika peserta memilih untuk menyerahkan sijil, atau apabila sudah sampai tempoh matang, duit terkumpul di dalam Akaun Peserta akan dikembalikan kepada peserta.
    Ini dinamakan sebagai Nilai Tunai (Cash Value).

Tapi, tak semua produk takaful mempunyai Cash Value.
Ada beberapa produk yang menyatakan produk tersebut tidak mempunyai Cash Value.

Ini membawa maksud produk tersebut menggunakan variasi yang lain sedikit daripada ilustrasi di atas.

Sila double check maklumat produk samada pelan tersebut mempunyai Cash Value atau tidak.

Cash Value? Savings? Investment? Apa beza?

Mesti kawan-kawan pernah dengar cerita pasal menyimpan dan melabur di dalam takaful bukan?

Untuk pasal ni nanti Mal akan sentuh dalam topik lain.

Stay tuned~

Medical Card : Annual Limit & Lifetime Limit

Ada 2 jenis had (limit) yang anda perlu tahu dalam produk takaful iaitu:

  • Had tahunan (Annual Limit)
  • Had sepanjang hayat (Lifetime Limit)

Lifetime Limit

Mal baru buat survey mengenai semua produk takaful operator di Malaysia.
Dan ini yang Mal dapat:

Hanya 1 dari 14 produk di pasaran sekarang ni yang mempunyai Lifetime Limit.
Yang lain semua tak ada Lifetime Limit.
UNLIMITED.

So memang tak payah pening kepala dah nak cari mana yang boleh bagi unlimited lifetime limit.

Unlimited Lifetime Limit:
Kita boleh claim seberapa banyak mana pun tanpa had.
Dari ambil sijil sampai tamat tempoh tu kalau claim sampai berjuta-juta pun tak apa.

Tapi!

Tertakluk pada Annual Limit pula.

Annual Limit

“Annual Limit ni apa pulak?”

Annual Limit ni adalah jumlah berapa banyak yang kita boleh claim dalam tempoh setahun.

Contoh Annual Limit RM50k.

Lepas kita dah claim sebanyak RM50k dalam setahun, pihak takaful operator tak akan benarkan untuk kita buat claim bagi kos rawatan kita.

Annual Limit ni macam kredit handphone gitu.
Airtime untuk 1 tahun.
Annual Limit tu jumlah kredit kita untuk tahun tu.

Berapa Annual Limit yang perlu?

Ini contoh kos rawatan di hospital kerajaan dan swasta di Malaysia.

Sumber : https://www.centre.my/post/healthcare-costs-in-malaysia

Kos rawatan untuk setiap satu penyakit cecah RM80k.

Untuk satu rawatan sahaja.

Contoh untuk rawatan kanser bukan 1 kali rawat dah boleh sembuh sepenuhnya. Perlu berkali-kali.

Ha, cukup ke Annual Limit RM50k?
Mestilah tak kan?

Sebab tu kena pilih pelan dengan ambil kira Annual Limit yang sesuai.

Mal sarankan untuk pilih Annual Limit anggaran dalam RM1 juta.
Pelan yang Annual Limit RM1juta pun bukanlah mahal mana pun sekarang.
Kalau rasa pelan untuk Annual Limit RM1 juta mahal, cari pelan lain yang kawan-kawan mampu untuk bayar bulanan.

Kalau rasa perlu dan mampu, pelan yang bagi annual limit hingga RM20juta pun ada!

Tapi yang penting, lebih baik kita sediakan kredit lebih daripada tak cukup nanti kena tambah sendiri.
Jadi RM1 juta tu berdasarkan kira-kira Mal memang sangat ngam sekarang ni.

“Mak aih, limit setahun RM1 juta? Banyak betul.”

Ya memang nampak banyak.

Tapi ingat tak Mal cakap hari tu:

Kadar inflasi kos rawatan di Malaysia setiap tahun adalah 12%.

RM 1juta tu dalam tempoh beberapa tahun je akan susut nilai dimamah inflasi.

Jadi, lagi banyak lagi bagus.

Kiraan kasar berdasarkan inflasi 12%.
RM1 juta tadi hanya akan bernilai sebanyak kira-kira RM300k sahaja pada 10 tahun akan datang.

Sebab tu juga kita kena review pelan takaful kita setiap 3-5 tahun untuk pastikan jumlah perlindungan masih mencukupi.

Boleh review balik dengan ejen masing-masing.
Tapi hati-hati jangan kena game dengan ejen yang nak kejar sales saja ya.
Lagi bagus kalau dapatkan khidmat penasihat kewangan.
Boleh bagi review secara menyeluruh dan tidak bias.

Ok next Mal akan sentuh pasal Room & Board Limit pulak.

Stay safe kawan-kawan!

TL;DR

  • Tak susah nak cari produk yang tiada Lifetime Limit.
    Hanya beberapa produk di pasaran yang masih mempunyai Lifetime Limit
  • Annual limit adalah penentu jenis produk yang sesuai
  • Anggaran Annual Limit sesuai adalah RM1juta bagi setiap individu.
    Lagi banyak lagi bagus.
  • Tapi yang penting pilih pelan ikut kemampuan.
  • Review pelan takaful setiap 3-5 tahun.
  • Dapatkan khidmat ejen yang boleh memberi nasihat dan bukan sekadar mengejar sales.

Macamana Nak Pilih Pelan Medical Card?

Sambungan kepada post Mal yang lalu:

Mal akan breakdown cara untuk pilih pelan medical card yang terbaik paling sesuai kepada beberapa penulisan. Kalau tulis semua sekali panjang sangat pening nak baca nanti.
Mal akan cuba untuk explain secara detail dan ringkas supaya mudah faham.
Kalau kurang jelas, bagitau kat Mal. Nanti Mal akan adjust.